Here's the online article.
Permata Hati: Muzik mampu satukan Elijah, ArielOleh Nor Afzan Mohamad YusofKembar seiras sama minat tetapi tidak sependapat
MINAT dan kecenderungan pasangan kembar selalu digambarkan sama. Sekiranya si abang gemar warna putih, maka si adik juga gemarkan rona sama. Nyata itu hanyalah khayalan bagi pasangan kembar Elijah Tan Zhen Yi dan Ariel Tan Zhen Qiang, tujuh tahun yang nyata tidak pernah meminati satu perkara sama walaupun mereka kembar seiras. Ibunya, Retna Vijayan, 37 dan bapanya Samuel Tan, 34 menyatakan, sungguhpun seronok memiliki anak kembar, gelagat si kecil yang lasak dan sering bertelagah menjadikan mereka berasakan dua sudah cukup menyemarakkan hidup mereka biarpun dianggap masih ‘kosong’ kerana tidak mempunyai anak perempuan. Retna berkata, kalau diikutkan hatinya, mahu saja menjerit setiap kali anak mereka bertelagah sekiranya berebut permainan atau memilih lokasi untuk makan, tetapi selalunya ditenangkan oleh suaminya yang nyata lebih sabar berbanding dirinya. “Elijah dan Ariel wajahnya cukup seiras, dan saya memikirkan mengikut pengalaman orang lain anak berwajah sama mempunyai kecenderungan sama, jarang bergaduh dan sebagainya, saya berasa lega. Tetapi nyata apa yang berlaku kepada kembar saya berbeza. Sedapat mungkin mereka ‘tidak akan bersatu hati’. Sebagai contoh kalau yang sulung, Elijah, ingin menikmati sajian di kafe A, Ariel pula akan menyatakan tidak mahu dan ingin ke kafe B. “Begitu juga ketika ingin menghadiri sesi fotografi ini. Sejak malam sebelumnya, Elijah begitu gembira dan menonjolkan kepada saya bagaimana beliau ingin beraksi depan kamera, sebaliknya Ariel hanya menunjukkan rasa bosan dan enggan menghadiri sesi ini, hanya kerana abangnya suka,” katanya. Sesi bergambar itu juga memaksa Tan mengambil kira-kira 30 minit memujuk si adik beraksi depan kamera. Itupun bila Elijah elok memberikan gaya depan kamera, Ariel pula yang menunjukkan aksi sebaliknya, dan begitulah sepanjang berlangsung sesi bergambar kembar berkenaan. Retna berkata, sungguhpun mereka selalu berbalah, tetapi dalam bab muzik, mereka memang juaranya. Masing-masing meminati muzik dan hanya muzik yang dapat menyatukan mereka. Minatnya terhadap muzik tertumpah menerusi bapanya yang minat bermain gitar sejak berada di bangku sekolah lagi. “Ketika mereka kecil suami akan bermain gitar, si kembar selalunya akan duduk atas riba Tan. Apa saja yang ada rentak pasti si kembar ini suka. Menyedari hal itu menyebabkan kami berdua bertindak menghantar ke kelas muzik pada usia kira-kira empat atau lima tahun. Tetapi guru muzik berkenaan menyatakan sekiranya ingin menghantar ke kelas muzik, pastikan usia kanak-kanak berkenaan sekurang-kurang enam tahun. “Ini kerana sekiranya terlalu kecil, dikhuatiri jarinya sukar untuk bermain muzik. Hingga kini mereka berkemampuan bermain gitar, biola dan drum. Mendorong minatnya itu saya membeli gitar dan biola supaya mereka lebih cepat pandai, tetapi set drum belum sempat saya beli kerana ia agak mahal,” katanya yang menyatakan anaknya boleh bermain banyak lagu termasuk ‘romance d’amor’. Mengulas mengenai kelahiran kembar berkenaan, Retna berkata, beliau melalui kaedah kelahiran secara pembedahan pada usia kandungan lapan bulan dua minggu dan sepanjang tempoh kehamilan, beliau tidak mengalami sebarang kesukaran, kecuali pada tempoh beberapa hari terakhir sebelum bersalin kerana perlu berbaring tanpa bangun di katil hospital selama dua hari kerana sudah berasakan kontraksi sedangkan tempoh ditetapkan belum sampai. Katanya, antara pengalaman yang tidak dilupakan hamil kembar, sudah pastinya mengenai berat badannya yang bertambah secara drastik daripada 57 kilogram sebelum hamil ke 105 kilogram. Sayangnya hingga kini tubuhnya agak sukar untuk kembali kepada berat sebelum hamil walaupun sudah melalui pelbagai perkara. Anak bongsu daripada lapan beradik, Retna berkata, beliau mendapat kembar daripada sebelah ibunya. Ibu saudaranya yang kini berusia lingkungan 80 tahun, bukan saja memiliki 16 orang anak, tetapi berpengalaman melalui dua kali kelahiran kembar dua dan sekali kembar tiga. Sayangnya daripada jumlah berkenaan hanya sembilan saja yang hidup hingga dewasa, selebihnya meninggal dunia beberapa hari atau bulan dilahirkan, mungkin juga kerana tahap kesihatan penjagaan ibu dan anak yang masih rendah pada ketika itu. “Dalam ramai adik beradik, hanya saya yang ada kembar. Walaupun adik beradik lain menyatakan rasa cemburunya kepada kami, apabila melihat kerenah lasak mereka berdua, mereka terpaksa bersyukur saja dengan apa yang dimilikinya itu,” katanya tersenyum manis. Menyentuh mengenai anaknya yang tidak fasih berbahasa Melayu, Retna berkata, keadaan itu berlaku kerana sebelum berpindah ke Puchong beliau menetap di Kuala Lumpur dengan dikelilingi jiran tetangga yang semuanya terdiri daripada warga luar yang menyebabkan anaknya perlu berbahasa Inggeris. “Sejak berpindah ke Puchong, Selangor, saya dapati bersekolah berhampiran rumah lebih baik daripada yang terlalu jauh, lantas menghantarnya ke Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Ladang Harcroft, Puchong. Bercampur dengan rakan-rakan Cina menjadikan beliau amat fasih berbahasa Cina dan Inggeris. “Sungguhpun tidak begitu lancar berbahasa Melayu, tetapi saya percaya mereka faham kerana sebelum ini juga pembantu rumah saya daripada keturunan Indonesia. Lagipun bahasa Melayu tidak terlalu sukar dipelajari dan saya yakin lambat laun mereka akan tahu juga,” katanya. |
No comments:
Post a Comment